Peserta menghadiri majlis penyerahan sumbangan Insentif Haji Muassasah 2022 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Dewan Seri Kelana, Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNAGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBI: Insentif haji bukti komitmen negeri tingkat syiar islam, rai jemaah

PETALING JAYA, 24 SEPT: Insentif Haji Muassasah yang diwujudkan sejak lima tahun lalu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan syiar Islam.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI berkata inisiatif juga sebagai langkah menyantuni serta meraikan penduduk yang berpeluang mengerjakan rukan Islam kelima.

“Selangor satu-satunya negeri yang melaksanakan program bantuan kepada jemaah haji. Ini disebabkan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada penduduk.

“Pada 2020 dan 2021, kita terpaksa tangguhkan sumbangan ini susulan penularan Covid-19 namun akan pastikan ia akan diteruskan pada masa hadapan bagi membantu jemaah,” kata Ahmad Azri Zainal Nor di majlis penyerahan sumbangan DUN Seri Setia disini, hari ini.

Beliau berkata kira-kira 3,000 individu mengisi borang sepanjang Mei hingga Ogos tetapi 2,800 permohonan diluluskan kerana menepati syarat ditetapkan antaranya warganegara tempatan dan beralamat di Selangor.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu wakil rakyat Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata seramai 41 jemaah menerima bantuan meliputi wang tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

“Hari ini kita kumpulkan 40 jemaah dari Seri Setia untuk terima sumbangan. Hanya seorang jemaah yang diberikan sebelum bertolak menunaikan haji,” katanya.

Kerajaan Selangor meneruskan skim berkenaan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta yang menyasarkan 3,000 penerima.


Pengarang :