Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kanan) menyerahkan cek cura bantuan banjir bernilai RM43,800 kepada Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong (empat, kanan) di Balairaya Kampung Jawa, Kerling, Hulu Selangor pada 27 September 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI peruntuk hampir RM44,000 bantu mangsa bah sekitar Kuala Kubu Bharu

HULU SELANGOR, 27 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan RM43,800 bagi membantu mangsa terjejas banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 16 Mei lalu.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 146 keluarga dari Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Kampung Air Panas dengan setiap seorang menerima wang tunai RM300.

Jelas Ahmad Azri Zainal Nor sumbangan wang ehsan disalur kepada mangsa terbabit berdasarkan maklumat daripada Ahli Dewan Negerinya Lee Kee Hiong.

“Banjir yang melanda beberapa kawasan di Kuala Kubu Bharu memang tidak diduga, tetapi Alhamdulillah sebelum ini kita sudah mengagihkan bantuan awal berbentuk makanan kepada mangsa.

“Kali ini kita serahkan pula bantuan kewangan dengan harapan dapat meringankan beban mangsa. Semoga mereka bersabar kerana Kerajaan Negeri sedang mengusahakan pelan mitigasi banjir bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan tersebut di balai raya Kampung Jawa, Kerling di sini hari ini yang turut dihadiri Kee Hiong.

Sementara itu, Kee Hiong berterima kasih atas keprihatinan anak syarikat Kerajaan Negeri yang tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa biarpun tragedi berlaku empat bulan lepas.

“Semestinya penduduk amat bersyukur kerana masih ada pihak memberi perhatian kepada mereka. Walaupun bantuan tidak mampu menanggu kerugian dialami, namun sekurang-kurangnha niat dan penghargaan kita sampai,” katanya.

Hujan berterusan lebih tiga jam dari 12 tengah hari pada hari kejadian mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terkesan ialah Kerling, Kampung Kelapa, depan persimpangan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu serta perumahan Taman Serendah Makmur.


Pengarang :