ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar (dua, kanan) disertai Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah (kiri) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan sumbangan kepada peserta sempena majlis penyerahan insentif Haji Muassasah 2022 anjuran DUN Seri Setia di Dewan Seri Kelana, Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBI sedia keperluan awal, elak masalah bantu mangsa banjir

PETALING JAYA, 24 SEPT: Hampir separuh daripada RM1.5 juta peruntukan khas bencana akan digunakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk persediaan mendepani kejadian banjir hujung tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata jumlah kira-kira RM700,000 itu akan diagih kepada mangsa mengikut keperluan.

“Dana akan diguna untuk membeli makanan jenis ‘retort’, tilam, bantal, selimut atau keperluan lain. Bergantung kepada apa diperlukan mangsa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor selepas majlis serahan Insentif Haji Muassasah Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di sini hari ini.

Majlis tersebut turut disertai Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Kata Ahmad Azri, MBI juga sudah menyelaraskan gerak kerja dengan beberapa agensi termasuk sukarelawan Penggerak Belia Selangor (PeBS) bagi melancarkan proses penghantaran bantuan.

“Ketika banjir, kita mahu makanan dihantar dengan cepat ke pusat pemindahan sementara. Jadi kita bincang bagaimana untuk lakukan dalam situasi meredah banjir,” katanya.

Tahun ini syarikat milik Kerajaan Negeri itu memperuntuk RM1.5 juta daripada RM30 juta peruntukan jabatan sosial korporat bagi membantu mangsa bencana.

Setakat ini 2,000 mangsa banjir seluruh Selangor menerima manfaat membabitkan belanja berjumlah RM400,000.


Pengarang :