Logo Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBT SELANGOR

MBPJ kenal pasti 144 binaan haram, 84 kena kompaun

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenal pasti 144 binaan tanpa kebenaran meliputi kediaman dan premis perniagaan antara Januari hingga Ogos lalu.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir memaklumkan sejumlah 84 kompaun dan denda dikeluarkan atas kesalahan itu serta 20 kes dibawa ke mahkamah selepas selesai tempoh notis.

Beliau berkata sebanyak 40 tindakan perobohan turut diambil berikutan binaan struktur yang tidak boleh diluluskan mengikut garis panduan yang terpakai oleh MBPJ.

“Senario binaan tanpa kebenaran akan meningkat jika tidak dibendung kerana pemilik premis tidak mendapatkan nasihat betul daripada perunding dan kontraktor,” katanya dalam perutusan sempena mesyuarat bulanan hari ini.

Beliau berkata masalah timbul apabila pengetahuan berkait permohonan kelulusan tidak sampai kepada penduduk khususnya bagi pemilik premis yang ingin melakukan kerja ubah suai bangunan.

“Situasi ini boleh mengakibatkan ubah suai binaan tidak dinilai bank semasa urusan penjualan selain tidak dilindungi insurans jika berlaku insiden kebakaran,” kata Mohamad Azhan.

Dalam pada itu, beliau berkata MBPJ merangka kaedah bagi memudah cara proses mendapat kelulusan bagi binaan mengikut kategori yang ditetapkan.


Pengarang :