PBTSELANGOR

MBSA anjur program edar barangan terpakai secara percuma Ahad ini

SHAH ALAM, 8 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan ‘Eco Free Market’ sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 pada Ahad ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata program penyaluran dan edaran semula barangan terpakai oleh penyumbang itu dilakukan secara percuma.

Program yang bermula jam 7.30 pagi turut diceriakan dengan sukan rakyat seperti galah panjang, lari dalam guni, bola sepak kain pelikat, kelereng, kereta sorong manusia dan gelung batik ajaib.

Mengangkat tema Sukan Untuk Semua, acara bulanan itu turut menganjurkan ‘Fun Run/Walk’, kayuhan santai, senamrobik, klinik memanah dan klinik silat

Selain itu, program turut diserikan dengan acara wayang pacak, persembahan Kombo MBSA, buskers, kendera saji (food truck), zoo haiwan ternakan dan pertunjukan burung kakak tua.

MBSA turut menyediakan pelbagai perkhidmatan antara Pejabat Bergerak MBSA untuk pembayaran kompaun dan cukai taksiran, perpustakaan bergerak, pameran Skuad PANTAS MBSA, pameran pencegahan denggi dan kitar semula.

Turut disediakan perkhidmatan saringan kesihatan oleh Klinik Siti dan jualan buah-buahan dan sayuran oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).


Pengarang :