Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terpaksa meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA tubuh jawatankuasa khas, aktifkan bilik gerakan hadapi bah

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menubuhkan jawatankuasa khas bencana bagi menghadapi kemungkinan banjir menjelang akhir tahun ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata bilik gerakan Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) turut diaktifkan 24 jam untuk bertugas bila-bila masa.

“Kita ambil maklum kemungkinan banjir yang akan berlaku dan kita bersedia untuk menggerakkan semua aset yang ada bagi membantu jika memerlukan.

“MBSA juga sentiasa berhubung dengan semua agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan serta menyemak ramalan kaji cuaca bagi memastikan kita sentiasa bersedia,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Shahrin Ahmad

Jelasnya, pihak berkuasa tempatan itu turut mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) berpotensi dan memastikan ia dalam keadaan bersih dan lengkap.

Shahrin berkata, PPS yang akan diguna pakai ialah dewan orang ramai dan dewan komuniti sedia ada di beberapa lokasi jangkaan banjir, yang memiliki kemudahan baik.

“Kita mahu mangsa banjir dalam keadaan selesa. Oleh itu, kita akan pastikan semua PPS sentiasa dalam keadaan bersih dan mempunyai bekalan air yang baik, selain kemudahan lain,” katanya.

Pada 14 September, Setiausaha Kerajaan Negeri menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan jangkaan taburan hujan meningkat mulai Oktober hingga Disember.

Dato’ Haris Kasim menerusi surat arahan berkata persiapan itu bagi menghadapi kemungkinan banjir, banjir kilat, ribut dan kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan.


Pengarang :