Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Dato’ Johary Anuar (tengah) bercakap kepada media selepas Program Selamat pagi Subang Jaya Hari Tanpa Kenderaan ‘Car Free Day’ di Jalan Kemajuan, Subang Jaya pada 4 September 2022. Program hari tanpa kereta dengan gaya hidup lebih bersih bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dikalangan wargakota mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ cadang anjur Selamat Pagi Subang Jaya di lokasi lain tahun depan

SUBANG JAYA, 4 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bercadang untuk menganjurkan program Selamat Pagi Subang Jaya di beberapa lokasi lain pada tahun hadapan.

Datuk Bandar Dato’ Johari Anuar berkata antara lokasi pilihan adalah Seri Kembangan, Serdang, dan Bandar Kinrara, bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

“Selamat Pagi Subang Jaya baru memasuki penganjuran kali kedua pada bulan ini. Jika ia mendapat sambutan menggalakkan, kita akan anjurkan di tempat lain pula.

“Kita mahu lebih ramai mendapat manfaat daripada program ini. Ia juga dapat membantu MBSJ meneliti dan menilai infrastruktur di tempat tersebut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Selamat Pagi Subang Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 1,500 penduduk setempat meluangkan masa memeriahkan program yang diadakan pada Ahad minggu pertama setiap bulan itu.

Program yang diadakan di Jalan Kemajuan berhadapan Subang Parade itu dijenama semula dari Hari Tanpa Kenderaan dan bermula jam 7.30 pagi hingga 11 pagi.

Antara program menarik adalah kayuhan santai, bola sepak jalanan (street soccer), pemeriksaan kesihatan, demostrasi memasak, pertandingan mewarna, dan jualan makanan.


Pengarang :