Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media selepas majlis perasmian Medan Selera Puchong Permai di perkarangan medan selera, Puchong Permai, Subang Jaya pada 25 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ: RM1.6 juta bangun semula tapak bazar terbakar dengan medan selera

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntukkan RM1.6 juta untuk membina Medan Selera Puchong Permai di sini.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata tapak medan selera itu merupakan kawasan perniagaan bazar larut malam berkeluasan 0.4 hektar menempatkan 127 peniaga yang musnah dalam kebakaran pada Februari 2019.

“Oleh demikian, kita telah menyusun semula penggunaan tanah dan aktiviti perniagaan dengan memulakan projek bina semula dengan kos keseluruhan RM1.6 juta.

“Medan selera ini adalah yang pertama bagi kawasan majlis perwakilan penduduk (MPP) Zon 14. Medan selera ini juga menyediakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai selaras dengan arus pendigitalan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan medan selera itu yang turut dihadiri EXCO Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali.

Medan selera tersebut siap dibina pada April lalu mempunyai 20 unit gerai dilengkapi dengan fasiliti seperti surau, tandas, tempat letak kereta termasuk untuk orang kurang upaya (OKU) dan motosikal.

Tambah Johary, pihaknya tidak hanya menumpukan kemudahan komuniti di medan selera itu sahaja sebaliknya mewujudkan ruang aktif dengan membina padang awam dengan keluasan 1.1 hektar dengan perbelanjaan kos RM500,000.

“Kita berharap dengan adanya medan selera yang menawarkan pelbagai menu dan padang awam dapat menjadi hub tumpuan penduduk di sini dan kawasan persekitarannya.

“Malah, dengan adanya medan selera ini juga diharap dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga terutama selepas pasca Covid-19,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Johary turut menyerahkan sijil penghargaan kepada 18 peniaga yang memperoleh penggredan premis Gred A bagi tahun ini.

 


Pengarang :