BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Mencari trauma perang Air Force The Movie

Oleh DANIYAL KADIR

Tradisi perfileman Malaysia jarang melihatkan kemunculan filem-filem bercorak peperangan dan ketenteraan. Jika tidak salah, antara filem peperangan terawal yang dihasilkan ialah Seruan Merdeka pada 1946 arahan BS Rajhans.

Filem ini memaparkan perjuangan menentang kependudukan Jepun di Tanah Melayu. Pada 31 Ogos 1957, sebuah filem yang mempunyai perkaitan dengan peperangan ialah Kaseh Sayang arahan Phani Majumdar.

Seterusnya pada tahun 1958 muncul dua filem yang juga menyentuh mengenai peperangan menentang Jepun iaitu Matahari dan Sarjan Hassan. Kebetulan kedua-dua filem ini diarahkan oleh pengarah dari Filipina iaitu Ramon A. Estella dan Lamberto Avellana.

Niat pembikinan ketiga-tiga filem awal peperangan dan ketenteraan dalam tradisi perfileman kita ini dapat dinilai sebagai usaha memulihkan dan menaikkan semangat rakyat yang pada ketika itu baru sahaja melepasi keadaan Perang Dunia Kedua dan seterusnya mencapai kemerdekaan. Maka filem-filem ini mengambil kesempatan untuk meraikan keadaan yang berlaku.

Dalam era moden perfileman Malaysia, kita mempunyai barisan filem peperangan dan ketenteraan yang tidak kurang hebatnya. Misalnya seperti Prebet Lapok, Darah Satria, Wira Angkasa, Paloh, Embun, Bukit Kepong, Leftenan Adnan dan termasuk yang terkini seperti Paskal dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Kebanyakan filem-filem yang disenaraikan ini masih mempunyai nilai dan sentimen yang sama seperti dibawakan tiga filem klasik tadi. Apabila ia masih tentang usaha meningkatkan semangat dan memaparkan bagaimana perjuangan yang ditampilkan harus diberikan penghargaan sewajarnya.

Nilai propaganda

Namun begitu, ada kelainan yang berjaya dibawakan filem seperti Bukit Kepong yang mempunyai gaya pembikinan baik termasuk kejayaan Tan Sri Jins Shamsuddin memberikan kegentingan pertempuran dalam tempoh lama di sekitar Balai Polis Bukit Kepong, serta keupayaan Jins menggunakan api sebagai perlambangan yang konsisten. Begitu juga dengan Paloh yang menyentuh tentang perjuangan kiri dan Embun yang berupaya menyentuh psikologi wanita yang menjadi mangsa perang.

Majoriti filem peperangan dan ketenteraan di Malaysia dibikin melalui dana dan sokongan pemerintah. Jadi ia secara tidak langsung dibikin mengikut apa yang diizinkan pemerintah. Jadi apabila filem-filem ini muncul, ia sudah tentu mempunyai nilai propaganda, cuba seboleh mungkin menerapkan soal semangat, kesukaran perjuangan angkatan tentera dan keperluan untuk menghargainya.

Inilah yang berlaku dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa. Malah dari segi gaya pembikinannya juga seperti sebuah templat penceritaan mengikut piawaian. Tidak ada dinamik.

Emosinya juga sudah diaturkan lebih awal untuk memberikan kesan penghargaan terhadap perjuangan itu tadi. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa filem ini masih terikut-ikut dengan rentak pembikinan filem peperangan dan ketenteraan yang terdahulu. Sedangkan sudah berlaku perubahan dari sudut sosiopolitik untuk kita menilai peperangan.

Dalam keadaan terkini, peperangan bukan lagi mengenai membina kekuatan dan mengukuhkan semangat nasionalisme, namun penilaian lebih menyeluruh perlu dilaksanakan untuk filem itu sendiri berfungsi sebagai refleksi psikologi mengenai kesan perang terhadap manusia.

Psikologi trauma

Misalnya melihat keperluan trauma yang dilalui mangsa peperangan termasuk anggota tentera. Jauh sekali filem-filem perang atau ketenteraan negara kita pernah mencuba untuk menyelongkar psikologi dan trauma perang dengan terperinci. Perang dan perjuangan sepatutnya dilihat dengan lebih jauh daripada sekadar jargon teknikal dan aset ketenteraan yang ditampilkan.

Air Force The Movie: Selagi Bernyawa hampir berjaya untuk menyentuh psikologi dan trauma perang, namun ia kandas apabila emosi tadi berselerak, tidak disusun dengan betul dan terperangkap dalam keterujaan memberikan aksi, menayangkan aset ketenteraan dan mahu bercerita daripada pelbagai arah.

Trauma watak Paco hampir sahaja mencetuskan pembaharuan tentang bagaimana sinema kita melihat perang. Namun sayang ia tidak dimanfaatkan secukupnya dan watak itu dimatikan separuh jalan.

Air Force The Movie adalah ulang-ulangan yang biasa kita tonton dalam filem perjuangan negara. Dari sudut aksi mungkin ia boleh dikatakan baik, termasuk babak tembak-menembak dengan kesan bunyi yang memberikan kesan. Namun ia tidak cukup jauh dalam meneliti persoalan kesan psikologi dan trauma tadi.

Dalam hal ini, saya teringat bagaimana bapa perfileman Indonesia, Usmar Ismail pada 1954 berjaya menghasilkan filem berjudul Lewat Djam Malam dengan lakon layar tulisan Asrul Sani. Filem ini berjaya mengungkap kegentingan trauma dan kesan psikologi dilalui anggota tentera selepas perang.

Mungkin selepas ini, filem-filem peperangan dan ketenteraan kita boleh secara sedikit-sedikit berusaha membentuk penceritaan baharu untuk memberikan nafas lebih baik buat filem jenis seperti ini di negara kita.


Pengarang :