AGENDANASIONAL

Mesej tular berkenaan culik kanak-kanak beberapa daerah palsu

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Polis hari ini mengesahkan mesej yang tular mengenai kejadian penculikan kanak-kanak menerusi media sosial membabitkan beberapa daerah di negara ini adalah palsu.

Di TANGKAK, Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata mesej yang tular itu telah meminta masyarakat berwaspada berikutan dakwaan kononnya terdapat lima orang penculik dilihat menaiki kenderaan Perodua Kancil dengan menjual buku kepada pelajar sekolah di kawasan Solok dan Tangkak.

Beliau berkata bagaimanapun setelah semakan dilakukan, pihaknya mendapati tiada sebarang laporan diterima berkaitan penculikan kanak-kanak.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan mesej tular yang menggugat keamanan masyarakat dan menyebarkan berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di MELAKA, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit dalam kenyataan mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan penculikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di kawasan Bukit Rambai di sini seperti tular menerusi aplikasi WhatsApp dan beberapa media sosial semalam.

Beliau berkata rakaman suara dakwaan kes penculikan berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan sebarang berita tidak berasas.

Menurutnya orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan berita yang belum ditentukan kesahihannya dan individu yang menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah mengesan dua rakaman suara penularan berita palsu menerusi WhatsApp tentang kanak-kanak diculik menggunakan sebuah kereta di Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai dan menggunakan sebuah van di kawasan Bukit Rambai.

“Polis mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berkaitan kes penculikan seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 505B Kanun Keseksaan kerana dengan niat menyebarkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.

Di KUANTAN, penularan berita mengenai kejadian culik di sebuah kawasan perumahan di Mentakab, Temerloh menerusi laman Facebook adalah tidak benar, kata Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff.

Beliau berkata pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial itu sekitar 8 pagi tadi (Rabu), yang dikongsi oleh pemilik akaun ‘Aisyah Eca’ mengenai cubaan culik di kawasan terbabit.

Beliau berkata siasatan mendapati semasa kejadian terdapat sebuah kenderaan bercermin gelap di hadapan kawasan rumah berkenaan yang tujuan pemilik kenderaan itu adalah untuk menukar peralatan dapur gas rumah jirannya.

“Keadaan kenderaan itu telah menimbulkan rasa curiga dan dikhuatiri digunakan bagi tujuan penculikan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kejadian yang diuar-uarkan adalah tidak benar dan hanya salah faham, ” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azhar berkata pemilik akaun Facebook ‘Aisyah Eca’ kemudiannya telah pun memohon maaf atas salah faham yang berlaku menerusi hantaran terbarunya serta menafikan kejadian culik tersebut.

Sementara itu di SHAH ALAM, Polis Kuala Langat menegaskan tiada sebarang cubaan culik ke atas seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di daerah itu seperti dakwaan beberapa hantaran yang dimuat naik dan tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata berdasarkan siasatan awal mendapati tiada sebarang cubaan culik berlaku sebagaimana yang ditularkan.

Ahmad Ridhwan berkata pada 23 Sept lepas, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada seorang pelajar perempuan mengenai individu dikatakan berkelakuan mencurigakan keluar dari sebuah kereta semasa pelajar tersebut berada di perhentian bas.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut tentang laporan polis tersebut bagi mengesahkan kejadian sebenar yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam.

– BERNAMA


Pengarang :