Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd menyampaikan insentif kepada atlet wushu dan karate do ketika Majlis Minum Petang bersama Kontinjen Angkat SUKMA Selangor di Hotel Royale Chulan, Damansara pada 9 September 2022. Foto MPHS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPHS salur insentif RM10,000 buat atlet wushu, karate negeri hadapi SUKMA

SHAH ALAM, 12 SEPT: Barisan atlet wushu dan karate do Selangor menerima insentif RM10,000 daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) pada bulan ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan insentif bantuan peralatan dan persediaan itu sebagai tanggungjawab pihaknya selaku bapa angkat bagi kedua-dua kontijen sukan berkenaan.

“Sebagai bapa angkat, MPHS memberikan bantuan peralatan dan persediaan dalam bentuk wang ringgit dengan jumlah keseluruhan bagi kedua kontinjen RM10,000.

“Beberapa bantuan lain juga turut diberikan sepanjang tempoh kejohanan berlangsung antaranya bantuan kenderaan bagi pergerakan atlet, elaun makan, t-shirt kejohanan dan beg kasut setiap seorang,” katanya di Facebook.

Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd menyampaikan cek cura insentif RM4,500 kepada wakil atlet wushu ketika Majlis Minum Petang bersama Kontinjen Angkat SUKMA Selangor di Hotel Royale Chulan, Damansara pada 9 September 2022. Foto MPHS

Penyerahan insentif disempurnakan Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd dalam Majlis Minum Petang bersama Kontinjen Angkat SUKMA Selangor di Hotel Royale Chulan, Damansara pada 9 September.

Dalam majlis itu, Mohd Hasry turut menyampaikan pesanan kepada semua atlet dan pengurusan agar menjaga sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan agar tidak menjejaskan prestasi sekali gus membawa pulang pingat di temasya sukan berkenaan.

“Beberapa insentif lain akan diberikan oleh MPHS kepada kedua kontinjen sukma kali ini antaranya insentif wang tunai kepada atlet sekiranya dapat membawa pulang pingat samada pingat emas, perak atau gangsa,” katanya.

Selangor menyasarkan berada pada kedudukan tiga teratas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September ini.

Pada 8 September,  Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata untuk berada pada kedudukan itu Selangor meletakkan sasaran 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk edisi kali ini.


Pengarang :