Noraini bersama pasukan bencana dan aset kenderaan yang akan digunakan bagi menghadapi air pasang besar ketika membuat lawatan pemeriksaan di pekarangan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK, Jalan Tepi Sungai Klang pada 22 September 2022. Foto MPK
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK buat persiapan logistik, aset hadapi kemungkinan banjir

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sebanyak 25 jenis kenderaan pelbagai guna (MPV)  sedia digunakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan fenomena air pasang besar.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan memaklumkan perkakas berkaitan serta 146 petugas turut disiapkan menghadapi kemungkinan bencana itu.

“Kita telah membuat pemeriksaan peralatan dan jentera selain 146 petugas akan terlibat dan bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat MPK Bil 9/2022 hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga berikutan paras air laut boleh mencecah 5.5 meter sepanjang fenomena monsun timur laut.

Bermula semalam hingga hari ini, Kerajaan Selangor menganjurkan program simulasi bencana yang menekankan aspek komunikasi antara agensi bagi melancarkan operasi menyelamat jika berlaku banjir akhir tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu turut menyemak dan mengemas kini tatacara operasi piawai (SOP) menyelamat selaras ketetapan Majlis Keselamatan Negara.

Seramai 343 peserta membabitkan 67 agensi terlibat dalam program itu bagi memastikan semua pihak bersiap sedia daripada segi perkhidmatan, peralatan dan aset.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter(mm) bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.


Pengarang :