Noraini bersama pasukan bencana dan aset kenderaan yang akan digunakan bagi menghadapi air pasang besar ketika membuat lawatan pemeriksaan di pekarangan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK, Jalan Tepi Sungai Klang pada 22 September 2022. Foto MPK
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK sedia lebih 20 aset kenderaan hadapi air pasang, banjir

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyediakan kelengkapan aset kenderaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata lebih 20 aset kenderaan sedia digunakan jika berlaku banjir antaranya trak pikap, lori jetter, lori tangki dan bot kecil.

“Pihak berkuasa tempatan mempunyai peranannya tersendiri dalam menghadapi bencana sekiranya berlaku di dalam kawasan pentadbiran MPK.

Noraini bersama pasukan bencana dan aset kenderaan yang akan digunakan bagi menghadapi air pasang besar ketika membuat lawatan pemeriksaan di pekarangan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK, Jalan Tepi Sungai Klang pada 22 September 2022. Foto MPK

“Selain menyediakan aset kenderaan, kita juga menyediakan jaket keselamatan, dron dan pam air sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, MPK juga mempunyai 17 dewan dan balai raya untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung lebih 1,000 individu.

“Antara dewan disenarai sebagai PPS ialah Dewan Ahmad Razali, Dewan Meru, Dewan Pendamar Indah 2 dan Balairaya Sri Damak,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan daerah terlibat ialah Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor manakala daerah yang tidak disenarai sebagai ‘hotspot’ ialah Hulu Selangor.


Pengarang :