Skuad Pantas bersama pegawai penguat kuasa MPKL memantau fenomena air pasang besar di Pantai Morib pada 27 September 2022. Foto Facebook MPKL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MPKL: Fenomena air pasang besar di pantai Kuala Langat terkawal

SHAH ALAM, 27 SEPT: Paras air laut enam kawasan pantai di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) terkawal dan berada dalam keadaan selamat.

MPKL menerusi Facebook memaklumkan pemantauan di kawasan berkenaan pada jam 6.19 pagi tadi menunjukkan bacaan paras air adalah setinggi 5.3 meter.

Pemantauan dilakukan Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) bersama pegawai penguat kuasa MPKL.

“Ketika pemantauan dijalankan tiada pengunjung yang mendekati kawasan-kawasan pantai tersebut. Paras air masih lagi terkawal dan masih dalam keadaan selamat,” katanya.

MPKL semalam menasihatkan orang awam menjauhi kawasan Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib dan Pantai Batu Laut berikutan fenomena air pasang besar.

Pihak berkuasa tempatan itu juga melarang orang ramai melakukan sebarang aktiviti di kawasan Pantai Cunang dan Jeti Tanjong Sepat sehingga khamis ini.

Berdasarkan ramalan, air pasang besar dijangka merekodkan ketinggian 5.3 meter  hari ini, diikuti 5.4 meter pada 7.53 pagi esok dan 5.3 meter pada Khamis antara jam 6.42 pagi.

Pertanyaan lanjut atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Skuad Pantas MPKL melalui talian atau whatsapp 012-300 4256.


Pengarang :