Orang ramai melawat gerai pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 pada 18 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPS promosi kawasan industri tarik pelabur sempena sidang kemuncak niaga

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjadikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 9 Oktober depan sebagai medium mempromosi kawasan industri bagi menarik pelabur.

Yang Dipertuanya Mohd Yazid Sairi berkata terdapat beberapa kawasan sedia beroperasi dan dalam proses pembangunan antaranya Perindustrian Kota Puteri, Platinum Rawang dan Taman Industrial Nautical, Seksyen 10 Kota Puteri, Rawang Food Industrial Park, Saujana Teknologi Rawang serta Taman Velox.

Katanya, kawasan terbabit akan dipromosi pada pameran Ekspo Taman Industri Selangor (SPARK) serta Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) sempena SIBS.

“Kita bersama-sama dalam program ini (SIBS) sejak 2016 lagi. Melalui program ini, kita berpeluang mempromosikan kawasan pentadbiran MPS bagi menarik pelabur yang berpotensi melabur.

“Malah program ini dijadikan platform syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan selain peluang menarik pelabur,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS Bil 9/2022 semalam.

Pada 12 Mei lalu, EXCO pelaburan berkata SIBS 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menawarkan 850 tapak pameran dengan 20 peratus daripadanya dijangka membabitkan pelabur luar negara.

Dato’ Teng Chang Khim turut menyasar potensi jualan sehingga RM350 juta dan mampu menarik 30,000 pengunjung sepanjang empat hari program diadakan.

Enam acara utama diketengahkan dalam SIBS tahun ini iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan)dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Turut diketengahkan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.

Tahun lalu, SIBS merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjuran dengan menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.


Pengarang :