YDP Majlis Perbandaran Selayang Yazid Sairi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

MPS sita harta 2,651 pemilik gagal lunas cukai tertunggak

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita harta 2,651 pemilik yang gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran dalam tempoh tujuh hari selepas serahan waran tahanan.

Yang Dipertuanya Mohd Yazid Sairi berkata angka itu berdasarkan waran tahanan yang berjaya diserahkan sehingga 31 Ogos lalu dengan operasi rampasan harta pemilik dijalankan setiap minggu.

“MPS telah memulakan proses tindakan sitaan atau rampasan harta alih bermula 1 Julai iaitu setelah tamat tempoh penghantaran waran tahanan.

“Kita melaksanakan tindakan sitaan apa jua harta alih di dalam premis tersebut,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS Bil 9/2022 hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya melunaskan tunggakan cukai taksiran bagi mengelak dikenakan tindakan sitaan dan lelongan.

“Pemilik yang ingin menjelaskan tunggakan cukai taksiran layak diberi pertimbangan pengurangan waran tahanan bagi bayaran penuh atau ansuran,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yazid berkata pihaknya masih meneruskan kempen bayaran tunggakan cukai taksiran bagi kawasan kampung dan rumah kos rendah yang mendapat pengecualian cukai.

“Pemilik yang mempunyai tunggakan mesti membuat bayaran penuh supaya boleh mendapat pembatalan waran tahanan dan caj dikenakan sebanyak 100 peratus sebelum 31 Disember,” katanya lagi.


Pengarang :