Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau pusat tadahan banjir selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 Peringkat Negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara, Petaling Jaya pada 17 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri mahu JPS segerakan projek tebatan banjir di lokasi kerap bah

PETALING JAYA, 17 SEPT: Kerajaan Negeri mahu Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Selangor menyegerakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di lokasi titik panas bencana sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangka.

Dato’ Menteri Besar berkata projek yang menumpukan Taman Sri Muda, Shah Alam, Jalan Meru, Klang dan Sungai Damansara, Petaling Jaya diawalkan dari Januari tahun depan ke November melalui peruntukan RM700 juta.

“Kalau boleh Kerajaan Negeri mahu percepatkan projek berkaitan kerana peruntukan telah disediakan cuma proses perolehan yang mengambil masa.

“Sekiranya kita mahu buat perancangan terus dibimbangi menimbulkan kontroversi, tetapi percaya ia (RTB) penting untuk dipercepatkan lebih-lebih lagi dengan amaran kadar taburan hujan yang tinggi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menekan tombol ketika merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 Peringkat Negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara, Petaling Jaya pada 17 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Selangor di Taman Eko Ara Damansara (TEAD) di sini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim dan Pengarah JPS Selangor Mohamad Nazif Daud.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan aspek kelestarian sungai di Selangor supaya fungsinya dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Secara keseluruhan, hampir setiap dua ke tiga bulan kita akan mendapatkan laporan kualiti air di tujuh lembangan dari Sungai Bernam ke Sungai Langat sepanjang 761.503 km dengan keluasa 8,576.19 km per segi.

“Namun antara kawasan yang belum boleh dijadikan sumber air adalah Sungai Klang berikutan tahap kualiti masih berada pada kelas tiga,” katanya lagi.


Pengarang :