Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin memberi taklimat pengurusan bencana ketika Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri sedia 796 pusat pemindahan sementara, boleh tampung 151,000 mangsa bah

SHAH ALAM, 28 SEPT: Sebanyak 796 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh menampung 151,000 mangsa bah ketika Monsun Timur Laut atau air pasang besar.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin berkata semua PPS itu boleh diaktifkan pada bila-bila masa mengikut keperluan.

“PPS ini terletak di seluruh Selangor dan terbahagi kepada tiga kategori iaitu besar, sederhana dan kecil mengikut kesesuaian lokaliti serta keperluan di sesuatu kawasan.

“Kita anggarkan pusat ini dapat menampung kira-kira 151,000 mangsa banjir. Ia sedia diaktifkan jika terdapat keperluan dan sah sekiranya libatkan pemberian bantuan kepada mereka,” kataya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Tambah Muhamad Shah, sebanyak 12 PPS aktif iaitu di daerah Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sepang masing-masing diperuntuk RM20,000 untuk penambahbaikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Bagi kos penambahbaikan, Nadma memperuntuk PPS yang dikategori aktif untuk pembaikan kecil seperti baiki pintu, tandas dan sebagainya bagi memastikan keselesaan mangsa banjir,” katanya.

Nadma melaporkan sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan daerah terlibat ialah Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor manakala daerah yang tidak disenaraikan ialah Hulu Selangor.


Pengarang :