Sebahagian daripada 24 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh Kemboja yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan ketika tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 9 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

NGO serah memorandum minta kerajaan tangani isu sindiket tipu kerja

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Khaizulnizam Mohamad Zuldin di perkarangan Bangunan Perdana Putra di sini hari ini, dan turut sama berada di perkarangan bangunan itu adalah lebih 30 keluarga mangsa penipuan kerja serta beberapa wakil NGO.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihak NGO berkenaan menggesa kerajaan memperketatkan syarat perjalanan rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun untuk bekerja di negara berisiko sindiket penipuan kerja seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand, selepas ratusan dipercayai masih terperangkap di negara-negara berkenaan.

Menurutnya rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan 40 tahun ke bawah kebanyakannya menjadi mangsa kerana terpedaya dengan iklan pekerjaan di media sosial yang menawarkan gaji lumayan.

Beliau juga mencadangkan hanya syarikat berdaftar dan mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia dan negara terlibat dibenarkan untuk mengambil pekerja daripada Malaysia.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan yang juga Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) pula berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharapkan dapat menggunakan saluran ASEAN Desk di Ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk berhubung dengan pihak di negara terbabit bagi mendapatkan maklumat berkaitan sindiket.

“Mangsa sindiket penipuan, bekerja sebagai scammer akan diseksa, dipaksa menjual organ dan menjadi pelacur jika tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata Musa yang berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

Sementara itu Wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Daniel Khoo, yang sedang berhubung dengan mangsa sindiket yang terperangkap di beberapa negara berkata, beliau menerima lebih 30 laporan sejak dua minggu lepas,

Berdasarkan maklumat terbaharu yang diterimanya, beberapa mangsa kini dalam keadaan bahaya kerana organ mereka akan dijual.

Beliau mendakwa terdapat satu kes mangsa ditawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Dubai dan apabila tiba di sana, individu itu telah disuntik dengan dadah sehingga tidak sedar diri yang kemudiannya diculik ke Myanmar.

Menurut Khoo, mangsa penipuan warganegara Malaysia akan dipaksa menjadi ‘scammer’ dan jika tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan sindiket, mereka akan diseksa malah ada yang dijual untuk sindiket penjualan organ.

Sementara itu ibu kepada seorang mangsa berumur 20 tahun berkata anak lelakinya ditawarkan kerja di China oleh kawannya namun setelah selepas berbulan-bulan dia mendapat maklumat anaknya menjadi mangsa sindiket di Laos.

“Dia pergi April dan masa itu dia beritahu kerja di China, tapi selepas berbulan-bulan rupanya dia di Laos terperangkap selepas menjadi mangsa sindiket. Dia telah melarikan diri daripada sindiket dan sekarang sedang bersembunyi kerana nyawa terancam,” katanya.

Seorang bapa kepada mangsa berkata dua anak lelakinya berumur 35 dan 38 tahun kononnya mendapat tawaran kerja di Thailand, kini bersembunyi di Myanmar dan mengharapkan bantuan supaya dapat kembali ke tanah air dengan selamat.- BERNAMA


Pengarang :