BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Onn Ja’afar nekad lawan arus, buka jalan capai kemerdekaan

Dato’ Onn Ja’afar sering menulis berapi-api mengenai sultan Johor, agihan biasiswa yang sedikit untuk anak negeri, isu bahasa Melayu dan nasib bangsa. ABDULLAH HUSSAINI mengulas buku riwayat hidup pemimpin politik yang penuh liku.

SHAH ALAM, 27 SEPT: Selain Tunku Abdul Rahman, sejarah telah merakamkan satu lagi susuk yang membuka jalan kepada kemerdekaan tanah air yakni Dato’ Onn Ja’afar. Tokoh dari Johor ini telah menyumbangkan seluruh hayatnya demi kemerdekaan dan pembangunan negara kita.

Masyarakat semasa barangkali pernah mendengar namanya cuma tidak ramai yang mengenalinya lebih dekat. Mujur, masih ada buku dan penulisan yang mengabsahkan sumbangan Onn sebagai perintis kemerdekaan, atau sebagai negarawan yang beraneka warna perjalanan politiknya.

Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar karya Pamela Ong Siew Im barangkali dapat menjawab pelbagai persoalan yang pernah difikirkan warga Malaysia: siapakah Onn?

Lahir dalam keluarga bangsawan, Onn dibesarkan dalam kehidupan yang kelihatan menjamin masa depannya. Namanya pasti kedengaran unik bagi mereka pada zamannya.

Apabila Rugayah Hanum yang berbangsa Turki melahirkannya, ayahandanya Dato Ja’afar Muhammad iaitu Menteri Besar pertama Johor memanggil Kadi Besar Johor, Syed Salim al-Attas untuk menamakan bayi tersebut. Kadi itu memilih gabungan huruf ain, wau dan nun dengan harapan ia dapat memberi keperibadian yang tersendiri kepada anaknya.

Onn mewarisi rupa daripada ibunya yang bukan Melayu. Kulitnya cerah, hidungnya mancung. Namun hayat ibunya tidak lama, dia meninggal sewaktu Onn kecil.

Jatuh miskin

Sejurus pemergian ibunya, Onn dihantar ke England ketika berumur 9 tahun. Di sana, beliau giat dalam pelbagai kegiatan seperti teater, kriket, hoki dan bola sepak. Malah Onn mula menunjukkan bakat menulisnya selain memerankan watak utama dalam pementasan akhir tahun. Tamat pengajian, Onn pulang ke Johor.

Pada umur yang belum mencapai 20 tahun, dia mula berkhidmat dengan Kerajaan Negeri. Pada tempoh ini kita akan melihat bagaimana bibit-bibit pertentangan antaranya dengan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar Johor telah melemparnya ke jalan kemiskinan.

Jiwa muda Onn yang tidak kena dengan kelaku pegawai-pegawai British dan tindakan-tindakan sultan, membuatkan kerajaan curiga terhadapnya. Dalam bab “Surat Kenworthy”, dilampirkan surat-surat yang dihantar Onn ke London mengadukan hal ehwal Johor.

Namun kerajaan British tidak mempercayai surat-surat Onn. Pemuda yang mulanya rapat dengan sultan, kemudiannya dibuang negeri. Kehidupan peritnya ketika miskin diperikan dengan cukup baik oleh penulis.

Bayangkan anda pada 80 tahun lalu, menyelak Warta Malaya 1931, atau 1932. Halaman depannya dipenuhi iklan basikal Raleigh atau susu Lactogen atau rokok Craven A, dan halaman seterusnya anda disajikan dengan Alf Laila wa Lailah penuh satu muka, selak lagi, lagi dan di muka tengah kita akan bertemu tulisan berapi-api Onn.

Hari ini kecaman terhadap sultan Johor, besok kritikan pengagihan biasiswa yang sedikit untuk anak negeri, lusa kegusaran perihal bahasa Melayu dan tulat ia merintih perihal nasib dan budaya bangsa.

Terjemahan Seribu Satu Malam yang disirikan dalam akhbar Warta Negara kemudian dibukukan. Onn menjadi pengarangnya. Onn juga pernah menerbitkan sendiri bukunya dan terjual laris pada cetakan pertama. Darah kewartawanan yang mengalir dalam jasadnya menjadikan beliau pengarang atau editor untuk banyak akhbar seperti Lembaga Malaya, Warta Ahad dan Warta Malaya.

Gemar mahjong

Namun, apakah titik ubah kemudian yang mengembalikan Onn kepada sentimen promonarki, atau lebih tepat, kepada sultan Johor sehingga menghasilkan buku Selamat Johor?

Ketika zaman muda, Onn gemar bermain mahjong. Tetapi kegemarannya tidak melalaikan atau mendatangkan kerugian kerana dia tahu mengatur strategi dan tahu bila untuk berhenti.

Ketika dewasa dan melewati beberapa perkahwinan yang tidak menjadi, Onn kian matang dan mula bersungguh memikirkan masa depan tanah air dan bangsanya.

Dalam buku ini turut mencatatkan kisah Onn menghentikan tindakan Kiai Salleh yang masyhur itu. Kejadian ini dan juga bagaimana Onn mengetuai orang Melayu melawan Malayan Union bukan sahaja mengembalikan kepercayaan sultan kepadanya bahkan melonjakkan namanya dalam arena politik Tanah Melayu.

Lidah tajam dan keberaniannya menggusarkan Sir Harold MacMichael. Tekanan bangsa Melayu dan seterusnya mewujudkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah membuka jalan kepada usaha mencapai kemerdekaan.

Dalam bab-bab terawal telah diceritakan alam kehidupan Onn: didikan, persekitaran, pertumbuhan usia; semuanya mendukung kepada pembinaan jati diri yang tersendiri buatnya.

Melihat kepada semua itu, bersama perubahan semasa, tidak mustahil menjadikan Onn seorang yang berfikiran terbuka, bersedia menerima gagasan baharu dan berubah jika perlu.

Ahli parti UMNO tentu tidak mungkin lupa cadangan Onn membuka keahlian kepada bukan Melayu yang telah menaikkan radang kebanyakan ahlinya. Dek tidak diterima, Onn mengundur diri bersama-sama anaknya, Hussein.

Kasih tulisan jawi

Masa depan beliau yang mulanya dilihat berkilau telah menuju kesuraman. Menubuhkan dua buah parti sambil menukar ideologi dan rakan politik, suara Onn masih didengar biarpun sayup.

Paling menarik, pakatan pembangkang yang menyedari betapa perlunya suara Onn dalam parlimen telah memberikan tempat bertanding di parlimen Kuala Terengganu Selatan. Pada 1959 Onn terpilih sebagai satu-satunya ahli parlimen daripada Parti Negara.

Kita tidak boleh melupakan usaha Onn yang menubuhkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan yang kemudian dimajukan menjadi Majlis Amanah Rakyat. Dan keunggulannya sebagai penulis dan kasih beliau akan tulisan jawi.

Buku Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar ini turut menyebutkan tabiat Onn yang sukakan kopi, gula-gula dan rokok. Dituruti pertambahan usia dan keresahan yang selalu menyerang, Onn meninggal dunia pada Januari 1962 akibat masalah jantung dan kencing manis.

Pemergiannya diberikan pemakaman negara, menunjukkan Tunku Abdul Rahman mengakui segala sumbangan Onn, seorang pemimpin yang nekad dan berwawasan jauh. Buku Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar edisi kemas kini dijangka terbit November hujung tahun ini.


Pengarang :