AGENDAJENAYAH

Op Tapis Khas: 3,972 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Seramai 3,972 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas Siri 6 yang dijalankan di seluruh negara pada Isnin lepas hingga semalam, kata Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin.

Noorsiah berkata sebanyak 739 kawasan diperiksa menerusi operasi itu antaranya Felda, Felcra, projek perumahan rakyat, kawasan perumahan, jeti, ladang swasta dan pangkalan haram yang dikenal pasti.

Beliau berkata operasi berkenaan dilakukan bagi mengesan dan menangkap pengedar dadah, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar dan tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti.

“Individu yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun yang terdiri daripada 501 tokan dadah, penagih (1,856), individu dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah (205) dan lain-lain kesalahan (1,410),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 39C dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Noorsiah berkata operasi itu turut merampas 81.12 kilogram (kg) dan 1,433 liter dadah pelbagai jenis yang boleh digunakan 78,014 penagih yang dianggarkan bernilai RM294,029.

“Selain itu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM892,681.97 termasuk selaras senapang berserta 14 butir peluru hidup,” katanya.

Beliau berkata sejak Januari lepas hingga semalam, seramai 24,533 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas selain 2,059.69kg dan 3,963.32 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM16,215,500.44 dirampas.

– BERNAMA


Pengarang :