Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah menerusi Jualan Ehsan Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di pekarangan parkir Taman Tasik Seksyen 7, Shah Alam pada 24 September 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Orang ramai ternanti lokasi jualan murah negeri, berulang beli barang asas

SHAH ALAM, 24 SEPT: Orang ramai sentiasa menanti Program Jelajah Ehsan Rakyat yang diadakan di sembilan lokasi setiap Selasa hingga Ahad.

Penolong Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Khairul Hakimin Shafii berkata rata-rata penduduk hadir bertanya lokasi seterusnya jualan murah barangan dapur tersebut.

Penolong Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Khairul Hakimin Shafii. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Mereka sering menanti jualan murah dan bertanya mengenai lokasi seterusnya kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan murah. Mereka berulang pegi untuk penjiamatan belanja dapur.

“Selain itu, ada juga pembeli pertama kali datang ke jualan murah dan gembira kerana dapat beli keperluan harian pada harga amat murah,” katanya ditemui pada program berkenaan di pekarangan parkir Taman Tasik Seksyen 7 di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau mengambil pendekatan penganjuran jualan murah di setiap lokasi untuk menguar-uarkan lokasi seterusnya jelajah ini.

“Lokasi jualan murah ditetapkan wakil rakyat dan sekiranya sudah ditetapkan kawasan kita akan maklumkan kepada penduduk.

“Namun, saya juga memaklumkan kepada mereka untuk sentiasa lihat Facebook PKPS untuk mengetahui lokasi jualan murah setiap hari kecuali Isnin,” katanya.

Program Jelajah Ehsan Rakyat bermula 6 September sehingga 6 Disember depan menawarkan jualan harga barangan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Menerusi jualan murah ini, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg(RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :