Anggota dari Unit Urban Force (Special Team) Majlis Bandaraya Petaling Jaya menjumpai sampah haram berupa sisa kayu, bungkusan alat elektronik dan pelbagai jenis saiz kotak ketika meronda di Jalan PJS 1/21A pada 8 September 2022. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBTSELANGOR

Padah buang sampah haram, individu didenda RM1,000

SHAH ALAM, 9 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mengesan kegiatan membuang sampah pukal secara haram di Jalan PJS 1/21A semalam.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut berjaya menahan seorang individu yang terlibat dan mengenakan kompaun RM1,000 bawah UUK 4 UKPPS (MBPJ) 2007.

“Hasil maklumat carian di lokasi dan keterangan daripada pekerja premis berhampiran, MBPJ mengesan suspek yang juga pekerja sebuah syarikat pengangkutan di Kelana Jaya.

“Kompaun RM1,000 dikeluarkan dan diserahkan kepada individu terbabit, selain amaran serta nasihat turut diberikan agar tidak membuang sampah di tempat awam,” kata MBPJ dalam kenyataan.

PBT berkenaan turut menggesa orang awam untuk memuat turun aplikasi iClean Selangor bagi menempah perkhidmatan kutipan sampah sama domestik atau pukal seperti perabot, tilam dan sisa pepejal.

Orang ramai juga boleh membuat aduan menerusi e-mel di [email protected], hubungi talian
03-79542020, rujuk Facebook MBPJ atau muat turun aplikasi ‘eaduan MBPJ’.

 

 


Pengarang :