Pengunjung merakam gambar sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Pameran udara catat nilai transaksi RM1.06 bilion – Invest Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS2022) yang diadakan pada 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi sebanyak RM1.06 bilion, menurut Invest Selangor.

Dalam kenyataan hari ini, Invest Selangor selaku penganjur program berkata acara tiga hari di SkyPark RAC, Subang itu menerima kehadiran seramai 10,563 orang, melebihi sasaran 8,000 pengunjung.

“Sebanyak 13 Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelbagai kerjasama subsektor industri aeroangkasa telah ditandatangani sepanjang SAS2022.

“Syarikat teknologi penerbangan hijau berpangkalan di Hong Kong, Volar Air Mobility Ltd yang memeterai MoU terbesar bernilai RM675.1 juta pada SAS 2022 berhasrat memperkenalkan perkhidmatan teksi udara hijau yang pertama di Malaysia dalam masa dua tahun,” katanya.

Invest Selangor berkata Volar akan bekerjasama dengan Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn Bhd untuk mempromosikan penerbangan hijau di Malaysia.

“MoU tersebut melibatkan pembuatan pesawat berpotensi; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; latihan perkhidmatan teksi udara; dan penyelidikan dan pembangunan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Acara itu turut berjaya menghimpunkan 62 pempamer dari lima negara yang mewakili industri penerbangan dan aeroangkasa terbaik dunia, mempamerkan barang pameran mereka sama ada di tarmak (landasan) atau reruai pameran.

Menurut Invest Selangor, sebanyak 30 pesawat statik dipamerkan, hampir dua kali ganda berbanding pada SAS 2021.

– BERNAMA


Pengarang :