Replika pesawat kawalan jauh dan dron pelbagai model dipamerkan kepada pengunjung sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran udara negeri terima sambutan, lebih 10,000 pengunjung hadir

SHAH ALAM, 10 SEPT: Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) terus mendapat sambutan apabila lebih 10,000 pengunjung hadir pada hari terakhir penganjurannya, hari ini.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sambutan menggalakkan orang awam tersebut  menyebabkan penganjur terpaksa menutup pendaftaran selepas jumlahnya mencecah 12,000 individu.

“Untuk hari ini sahaja, seramai 12,000 orang awam berdaftar manakala untuk dua hari program berlangsung seramai 4,000 individu hadir. Jika semua hadir, pameran ini menerima seramai 16,000 pengunjung dan melebihi sasaran iaitu 9,000.

“Ini merupakan reaksi positif masyarakat dan peluang baik khususnya kepada golongan belia serta kanak-kanak untuk mempelajari sesuatu dalam industri aeroangkasa,” katanya dalam sidang media di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), di sini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara beberapa syarikat sempena SAS 2022 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris .

Tambah Chang Khim, pihaknya juga menyediakan 19 bas dari Terminal Skypark ke pintu belakang Skypark RAC bagi menampung kehadiran pengunjung.

“Sepanjang dua hari penganjuran sebanyak enam bas tetapi apabila pendaftaran pengunjung mencecah 12,000 kita ambil keputusan untuk menambahnya kepada 19 bas,” katanya.

SAS 2022 berlangsung di Skypark RAC bermula kelmarin sehingga hari ini bertujuan membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Sebanyak 56 syarikat terlibat pada tahun ini melibatkan 63 pempamer dari sembilan negara iaitu Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.

Antara peserta SAS 2022 adalah Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Edisi pertama SAS diadakan pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.

Pengunjung merakam gambar sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Gelagat kanak-kanak yang sempat dirakam lensa SelangorKini sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :