Pengarah Eamas Profesionnel, Zax bersama kakitangannya mempromosikan produk mereka di reruai Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 8 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pavilion Selangor bantu peniaga kecil tembusi pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Penyedia platform e-dagang halal di United Kingdom, Halal Street menjadikan Pavilion Selangor di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) ke-18 sebagai peluang membantu usahawan kecil memperluaskan perniagaan.

Pengurus Besar OMalaysia (Kumpulan Halal Street di Malaysia) Hairul Hafizi berkata pihaknya akan mengenal pasti peniaga berpotensi untuk dibawa ke pasaran antarabangsa terutama membabitkan produk tempatan.

Pengurus Besar Halal Street Hairul Hafizi

“Kita mahu bantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah, golongan wanita serta pengusaha industri kecil dan sederhana.

“Dengan sertai kami, produk mereka boleh dipasarkan di luar negara. Pelanggan bukan hanya dari rakyat Malaysia tetapi turut mendapat permintaan dari warga UK. Kita mahu produk Malaysia dikenali,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu pengarah salun rambut Eamas Profesionnel berkata penyertaan di Pavilion Selangor membantu syarikatnya lebih dikenali sekali gus menarik ramai pelanggan.

Pengarah Eamas Profesionnel, Zax

“Walaupun perniagaan berasaskan kecantikan, namun aspek halal perlu kerana semakin ramai pelanggan mementingkannya terutama muslimah.

“Kami mempunyai 10 cawangan di Kedah dan ini merupakan penyertaan pertama di program berskala besar. Semoga usaha ini membantu perkembangan syarikat,” kata Zax.

Terdahulu EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni merasmikan Pavilion Selangor di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Sebanyak 20 syarikat pelbagai sektor mengambil bahagian di Pavilion Selangor sempena penganjuran MIHAS 2022 yang semalam hingga Sabtu ini.


Pengarang :