Pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa hadir sesi perjumpaan bersama peminat sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pelakon Air Force The Movie: Selagi Bernyawa meriahkan SAS 2022

SHAH ALAM, 10 SEPT: Hari terakhir penganjuran Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) hari ini, dimeriahkan dengan kehadiran pelakon filem aksi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Antara pelakon yang hadir dalam sesi pertemuan bersama peminat ialah Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Pablo Amirul, Iman Corinne dan Esma Daniel.

Zulkarnain Azhar

Dalam sesi tersebut, pengunjung bertuah turut menerima hadiah t-shirt dan poster ditandatangani barisan pelakon filem tersebut.

Sementara itu, pengarah filem Zulkarnain Azhar berkata pihaknya menghargai kesudian penganjur menjemput produksi dan pelakon  ke SAS 2022.

“Kehadiran pasukan produksi dan pelakon ke pameran udara turut membantu pihak kami mempromosi filem ini kepada pengunjung yang hadir.

“Bagaimanapun, kami amat terharu dan tidak sangka pula menerima sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung pameran udara ini,” katanya.

Nas-T

Sementara itu, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin berkata beliau terkejut apabila pengunjung di pameran udsra memberi reaksi positif dengan kehadiran pasukan produksi.

“Filem ini sebenarnya untuk semua dan apabila melihat pelbagai kaum juga menontonnya ia memberi impak baik untuk semua,” katanya.

Filem aksi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang ditayangkan mulai 25 Ogos mencatat kutipan RM20 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di Malaysia.

Filem yang turut menampilkan pelako Datuk Adi Putra dan Sara Ali mengisahkan Pasukan Khas Udara (Paskau) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh.

Karya arahan Zulkarnain dan Frank See turut ditayangkan di Singapura dan Brunei sejak 25 Ogos.


Pengarang :