Sesi taklimat pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam di Hotel Concorde Shah Alam 30 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pembangunan semula stadium lengkapi pelan ekonomi negeri

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bakal melengkapi sektor pengukuhan ekonomi yang terangkum dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Menurut ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, kompleks yang dilengkapi teknologi terbaharu itu juga memberi nilai komersial kepada negeri.

“RS-1 merangkumi empat pelan strategik dan pembangunan semula stadium atau kompleks sukan ini terangkum di dalamnya untuk melengkapi pelan tersebut,” kata Norita Mohd Sidek.

Beliau memaklumkan perkara itu dalam taklimat pembangunan semula KSSA bersama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di Hotel Concorde di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan RS-1 Julai lalu memaklumkan pembangunan semula KSSA dibuat bagi membina stadium kalis usang yang dilengkapi kemudahan canggih.

Sebelum ini, beliau memaklumkan rancangan baik pulih tersebut yang dijadual awal tahun depan tidak menggunakan dana awam sebaliknya bersifat perkongsian awam-swasta.

Berikut ciri-ciri Kompleks Sukan Shah Alam:

– Stadium berkapasiti 35,000 ke 45,000 penonton
– 60 peratus kawasan kompleks adalah untuk aktiviti sukan dan stadium bertaraf antarabangsa
– Reka bentuk akan mengambil kira dan menyelesaikan masalah trafik, menghubungkan pengangkutan awam, menyelesaikan isu banjir
– Stadium terbuka dan mempunyai fungsi untuk menjadi stadium tertutup bagi mengendalikan pelbagai acara
– 40 peratus kawasan kompleks akan digunakan bagi ruang rekreasi awam
– Taman awam, pusat rekreasi dan pembangunan belia turut akan disediakan


Pengarang :