EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail meninjau ke tapak projek terbengkalai pembesaran Kampung Koskan Bandar Serendah, Hulu Selangor pada 23 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembeli rumah projek terbiar tarik nafas lega dibantu Kerajaan Negeri

HULU SELANGOR, 23 SEPT: Pembeli perumahan di Kampung Koskan di sini meluahkan rasa syukur selepas Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan lebih RM5.1 juta untuk pemulihan infrastruktur selepas 20 tahun terbiar.

Mereka yang ditemui SelangorKini berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana bertindak segera selepas masalah itu disuarakan pada 2019 dengan kelulusan peruntukan pada tahun sama.

Abdul Aziz Mahmud, 60

Wakil penduduk, Abdul Aziz Mahmud, 60, berkata dalam tempoh 20 tahun rumah banglo setingkat yang hanya siap 80 peratus itu mengalami pelbagai kerosakan susulan dipecah masuk dengan tingkap dan wayar elektrik menjadi sasaran pencuri.

“Alhamdulillah rasa lega selepas 20 tahun membuat pembayaran kepada rumah yang tidak boleh diduduki akhirnya dalam tempoh beberapa bulan lagi boleh melihat hasilnya.

“Namun pembeli perlu baik pulih terlebih dahulu kerana Kerajaan Negeri membantu menyediakan infrastruktur. Macam saya sendiri perlu peruntukan RM30,000 untuk baik pulih rumah,” katanya yang bercadang memberikan rumah berkenaan kepada anaknya.

Shamsudin Ab Samad, 61

Pesara, Shamsudin Ab Samad, 61, pula berhasrat menjual rumah berkenaan kerana sudah mempunyai rumah lain selain bagi menampung perbelanjaan hari tuanya.

“Selepas bersara saya keluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM80,000 bagi menyelesaikan baki pinjaman bagi mengelak dari dikenakan tindakan dari pihak bank.

“Syukur sangat sebelum ini rasa seperti sia-sia akhirnya Kerajaan Negeri sudi membantu, selepas infrastruktur siap saya mahu baiki rumah ini sebelum menjualnya untuk menampung kehidupan,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui selepas bertemu EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar, Rodziah Ismail yang meninjau pelaksanaan projek pemulihan kawasan berkenaan yang melibatkan kos RM5.1 juta.


Pengarang :