Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan perumahan ketika Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah di Taman Sungai Yu Indah, Kuala Selangor pada 12 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Penantian 26 tahun berakhir, pembeli sedia duduki rumah kos rendah

KUALA SELANGOR, 12 SEPT: Penantian selama 26 tahun pembeli rumah kos rendah Taman Sungai Yu Indah di sini berakhir apabila projek pada 1996 kini siap dan boleh diduduki.

Dato’ Menteri Besar berkata secara keseluruhan sebanyak 107 unit rumah berkenaan yang bernilai RM42,000 berjaya dipulihkan dan disiapkan pada tahun ini.

“Kalau ikutkan saya Menteri Besar keenam dari Tan Sri Muhammad Taib, Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar, kemudian Dr Khir Toyo, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dan kemudian Dato’ Seri Azmin Ali baru ia diselesaikan.

“Alhamdulilah dari 2014 sebenarnya kita sudah punyai formula untuk selesaikannya selepas ubah beberapa dasar… kita ubah dasar bukan mencari alasan tetapi Kerajaan Negeri cuba menyelesaikannya mengikuti situasi semasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci kepada 10 pembeli di taman perumahan berkenaan.

Pemandangan udara dron rumah kos rendah yang siap dibina di Taman Sungai Yu Indah, Kuala Selangor pada 12 September 2022. Foto HALIM ABDUL RAHMAN/ SELANGORTV

Amirudin berkata tasik semula jadi berdekatan taman perumahan itu akan dikekalkan untuk dijadikan kolam takungan berikutan kedudukan berhampiran laut.

“Saya minta ia dikekalkan dan diperbesarkan sebagai nilai tambah jika berlaku air pasang besar dapat menampung saliran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pembangunan Taman Sungai Yu Indah dibangunkan dengan kerjasama Syarikat Serambi Padu Sdn Bhd dengan fasa dua dan fasa 3A dan fasa 3B dalam pembinaan.

Katanya, fasa dua merangkumi 120 unit rumah teres kos sederhana yang dijangka siap pada Disember ini, manakala fasa 3A dan fasa 3B melibatkan 272 rumah mampu milik satu setengah tingkat dijangka siap tahun hadapan.


Pengarang :