ADN Bukit Gasing R Rajiv menunjukkan peta ketika ditemu bual Media Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 19 September 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk diminta kongsi idea bangunkan semula kawasan industri PJ

PETALING JAYA, 19 SEPT: Kawasan perindustrian Seksyen 19, Seksyen 51 dan Seksyen 52A dekat sini bakal dibangunkan semula bagi mencapai kemajuan lebih komprehensif.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing berkata pembangunan di kawasan lebih 1,000 ekar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meliputi kemudahan awam dan pengangkutan.

Jelas R Rajiv rancangan yang kini memasuki fasa kedua merangkumi pandangan dan idea daripada orang awam, penduduk setempat serta pemilik tanah.

“Fasa pertama sudah selesai membabitkan proses kenal pasti kawasan, pemilik tanah serta tapak yang masih digunakan atau terbiar. Esok hingga Khamis kita akan dengar pandangan semua pihak.

“Jadi kita minta penduduk untuk hadir memberi pandangan dan idea masing-masing supaya projek pembangunan berjalan lancar. Program berlangsung di Dewan Sivik MBPJ mulai 9 pagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Rajiv, segala pandangan dan idea dikemukan akan diteliti sebelum rancangan dimulakan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

“Sebelum projek berjalan, segala pelan akan ditunjukkan kepada semua pihak. Kita mahu semua kongsikan idea supaya rancangan lancar dan memberi manfaat kepada semua.

“Jadi penduduk jangan risau atau bimbang dengan perkara ini. Kita mahu berinteraksi dan mencapai kata putus yang memuaskan hati semua pihak,” katanya.


Pengarang :