Lori layar bergerak digunakan ketika program jelajah Jualan Ehsan Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Klang pada 14 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Penduduk menanti lori jualan murah, jimat kos belanja keluarga

KLANG, 15 SEPT: Kehadiran lori Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda di sini dinanti-nanti penduduk untuk mendapatkan barangan pada harga yang lebih murah.

Pesara, Norazlina Abdul Manaf, 49, berkata beliau sememangnya menanti jualan itu datang ke kawasannya bagi membeli barang keperluan harian.

“Harga ditawarkan ini amat berpatutan dan menjimatkan perbelanjaan membeli keperluan asas. Contohnya, saya dapat beli ayam pada harga RM10 seekor sahaja berbanding di pasaran RM8.99 sekilogram.

“Apabila jualan ehsan ini tiba di kampung ini, saya tidak melepaskan peluang untuk membeli keperluan harian dan datang bersama kawan,” katanya kepada SelangorKini.

Operator pengeluaran, Anuar Ayahtar,58, berkata beliau mengambil peluang membeli beras dan minyak masak yang ditawarkan pada harga yang amat murah.

“Dua barangan ini sahaja saya dapat jimat lebih RM20 dan sudah pasti ia bantu jimatkan perbelanjaan kerana kos sara hidup semakin meningkat.

“Cuma saya harap jumlah barangan dapat ditambah kerana tidak dapat beli ayam dan program ini diadakan setiap bulan atau paling kurang dua bulan sekali untuk bantu ringankan beban rakyat,” katanya.

Lori Jelajah Ehsan Rakyat yang membawa barangan keperluan harian pada harga murah menjelajah ke sembilan daerah setiap hari hingga hujung tahun ini.

Menerusi jualan itu, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Maklumat lokasi lori berkenaan mengikut hari boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :