Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tiga,kanan) menyerahkan surat milik strata rumah pangsapuri kos rendah di Balai Masyarakat PJS 7/15, Subang Jaya pada 16 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk pangsapuri luah syukur, dapat hak milik strata selepas 20 tahun

SUBANG JAYA, 16 SEPT: Penduduk Pangsapuri PJS 7/15 mampu menarik nafas lega apabila kemelut proses permohonan hak milik strata akhirnya menemui titik noktah.

Mohd Fauzi Mat Salleh, 57, berkata dia menanti selama satu dekad untuk mendapat pemilikan tersebut selepas berjaya melunaskan pinjaman bank kira-kira 20 tahun lalu.

Mohd Fauzi Mat Salleh, 57. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Tempoh 10 tahun menunggu memang agak lama. Rasa bimbang usah cakap memandangkan dulu pernah dengar ura-ura pihak pemaju mahu mengambil semula pangsapuri ini.

“Tetapi mujurlah penghuni di sini ramai, masing-masing optimis bahawa akan ada penyelesaian terhadap isu ini suatu hari nanti. Alhamdulillah, hari ini kami dapat surat hak milik,” katanya.

Terdahulu, bapa tiga anak itu antara 420 keluarga menerima geran hak milik strata yang diserahkan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze di Balai Masyarakat Bandar Sunway di sini.

Chandrasegaran Kuppusamy, 56. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, K Chandrasegaran, 56, bersyukur apabila wakil rakyat Subang Jaya segera membawa isu terbabit kepada pihak pemaju untuk tindakan lanjut sebaik aduan dikemukakan penduduk.

“Saya menghargai usaha beliau (Michelle Ng) kerana serius menangani isu ini walaupun prosesnya memakan masa dan rumit atas beberapa faktor.

“Tanpa bantuan beliau sudah pasti tempoh menunggu akan jadi lebih lama, barangkali sukar untuk diselesaikan,” katanya yang menetap di situ hampir 15 tahun.

Hin Chow Koon, 61. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seorang lagi penduduk, Hin Chow Koon, 61, berkata sebagai antara individu terawal menetap di pangsapuri kos rendah itu, beliau perjuangan puluhan tahun mendapatkan hak milik strata tidak sia-sia.

“Saya amat berterima kasih kepada wakil rakyat di sini yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hak kami.

“Bayangkan 33 tahun tanpa surat hak milik, semestinya kami sekeluarga bimbang jika apa-apa terjadi dengan rumah ini,” katanya.


Pengarang :