EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) ketika lawatan media dan pempengaruh dalam program Fam Trip di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 13 September 2022. Foto Pertubuhan Media Negeri Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengamal media, pempengaruh bantu promosi industri halal Selangor

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seramai 40 pengamal media tempatan dan pempengaruh menyertai program Fam Trip bagi mempromosi industri halal Selangor pada Isnin hingga Rabu lalu.

Program diselaras Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dengan kerjasama Pertubuhan Media Negeri Selangor mendedahkan peserta kepada produk halal meliputi makanan, farmaseutikal, kosmetik, kewangan, hiburan dan pelancongan.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata selain menyebar luas usaha negeri merancakkan sektor halal, program tiga hari membantu memperkenalkan produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Program ini juga dapat mendidik pemain industri yang mendapat sijil Halal Malaysia menyimpan maklumat dan dokumen aktiviti mereka sebagai rekod atau kajian kes untuk rujukan penggiat industri lain.

“Malah kita juga dapat mendidik masyarakat cara menyampaikan maklumat yang tepat dan meyakinkan berkaitan industri halal,” katanya kepada SelangorKini.

Antara perusahaan dilawati peserta ialah Saudagar Nanas Agrofarm, House of Kambing, Chatime Malaysia, Dermalene Skin Care, Mutiara Pick – Buah Tin, Ayamas, Abaya Dubai, Aku Suka Kopi, Muzium Coklat dan Amirul Grocer Seksyen 15.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya akan memperbanyakkan program tersebut bagi membantu pemain industri yang terjejas ketika pandemik Covid-19 untuk bangkit dalam perusahaan masing-masing.

“Pandemik yang melanda dunia bukan sahaja menjejaskan ekonomi dunia, malah mengubah landskap kehidupan masyarakat. Jadi kita akan pelbagaikan lagi program seumpama ini.

“Usaha sebegini sedikit sebanyak membantu penggiat industri halal di negeri ini untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baharu,” katanya lagi.


Pengarang :