AGENDANASIONAL

Peniaga dipukul gara-gara tegur pelanggan bising dalam kedai

SHAH ALAM, 13 SEPT: Seorang peniaga cedera dipukul akibat menegur dua pelanggan yang membuat bising dalam kedai runcit di Taman Pandan Cahaya di sini, kelmarin.

Kejadian sekitar 9.30 malam berlaku ketika tiga lelaki masuk ke dalam kedai mangsa yang juga lelaki berusia 25 tahun untuk membeli minuman keras, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata dua daripada suspek bersuara tinggi menyebabkan mangsa menegur dan meminta mereka keluar.

“Selepas itu apabila mangsa keluar dari kedai, dua lelaki berkenaan datang ke arahnya lalu memukul bahagian dada dan belakang badan peniaga itu menggunakan tangan serta kayu.

“Pada masa sama, orang awam yang berada di sekitar lokasi dan menyaksikan kejadian bersama seorang lagi rakan suspek membantu meleraikan pergelutan itu,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mohamad Farouk berkata mangsa cedera di lengan kiri, belakang badan dan dada manakala kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun ditahan.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek warga Myanmar dan tidak bekerja serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya menambah kes disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

 


Pengarang :