Pemilik Kedai Minuman Harun, Gerai Makan Seksyen 8 Nurlela Harun (kanan) bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv ketika melancarkan program bungkus di kawasan Gerai Makan Seksyen 8, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Peniaga sambut baik program bungkus, langkah tepat didik masyarakat

PETALING JAYA, 20 SEPT: Program bungkus anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing langkah tepat dalam mendidik masyarakat tentang keburukan penggunaannya.

Pemilik Kedai Minuman Harun, Gerai Makan Seksyen 8 Nurlela Harun,36, berkata beliau menyokong sepenuhnya program menukar plastik bungkusan air kepada bekas air demi kebaikan alam sekitar.

“Trend terkini pelanggan ialah membungkus minuman dan meletakkannya dalam mangkuk atau cawan besar. Namun, dengan penggunaan bekas air ini dapat menjimatkan penggunaan plastik.

“Apabila pelanggan membeli bekas air pada harga RM10, mereka diberikan kupon diskaun RM1 dan dan begitu juga dengan pembelian berikutnya,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Nurlela, beliau akan mula menggunakan bekas air sebagai usaha mempromosi kempen ini kepada masyarakat.

“Bagi menjayakan kempen ini, saya akan gunakan bekas air untuk uar-uarkan kepada ahli keluarga dan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, wakil rakyat Bukit Gasing melancarkan program bungkus iaitu kempen katakan tidak kepada plastik bungkusan air.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata inisiatif itu adalah usaha menggalakkan masyarakat untuk tidak menggunakan plastik bungkusan air dan beralih kepada bekas air guna pakai.

Berikut lapan restoran terlibat dalam program bungkus:

– Bake and Brew PJ New Town (Bandar Baru Petaling Jaya)
– Nora’s Cottage Kitchen (PJ New Town)
– Xing Loong Restaurant (Seksyen 17)
– No. 7 Kedai Minuman Harun, Gerai Makan Seksyen 8 PJ (PJS 8)
– Ajmeer Curry House (PJ New Town)
– No. 32 ,Selera Jaya 223 (Medan Selera Jaya)
– Makan Channel (Seksyen 14)
– Restoran Al Safuan (3 Two Square)


Pengarang :