Kakitangan Platform Selangor (PLATS) mempromosi kaedah jualan menerusi platform digital ketika Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penjaja sertai PLATS meningkat lebih 2,000 dalam tempoh sebulan

SHAH ALAM, 5 SEPT: Seramai 16,565 peniaga dan penjaja kecil menyertai Platform Selangor (PLATS) untuk meluaskan rangkaian perniagaan setakat 31 Ogos lalu.

Peningkatan lebih 2,000 penyertaan berbanding 14,517 peniaga pada akhir Julai lalu itu dibantu gerak kerja dari duta Rakan Digital Selangor (RDS), kata agensi.

“Alhamdulillah sehingga 31 Ogos 2022, PLATS berjaya mendaftarkan seramai 16,565 peniaga di Platform PLATS dengan bantuan duta RDS yang turun kelapangan hampir setiap hari menjejaki peniaga-peniaga kecil di Selangor.

“Kepada semua peniaga di luar sana, anda juga boleh sertai PLATS kerana ianya percuma,” katanya di Facebook.

Mereka yang berminat boleh terus daftarkan perniagaan masing-masing di http://www.platselangor.com atau boleh berhubung dengan pasukan khidmat pelanggan talian di 019-2018119.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, Rakan Digital Selangor dan 12 pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :