EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian (kiri) meninjau keadaan kolam takungan kumbahan najis babi sebelum disalirkan ke perparitan berdekatan di Tanjung Sepat pada 23 September 2022. Foto ihsan Hee Loy Sian
AGENDANASIONAL

Penternak babi diarah senggara ladang, lupus najis ikut piawaian

SHAH ALAM, 28 SEPT: Pengusaha ladang babi di negeri ini diarah segera membersih dan menyelenggara kawasan ternakan serta sistem kumbahan bagi mengelak pencemaran sumber air.

Menurut EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian, pengusaha juga perlu melupuskan najis ternakan di luar kawasan ladang dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan.

Beliau menjelaskan pemilik tanah pula perlu memulihkan saliran parit dalam tapak sehingga air yang dilepaskan keluar daripada lot tanah tidak mencemarkan.

“Pensampelan kualiti air juga akan dilaksanakan dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat elemen pencemaran berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan dibuat susulan lawatan EXCO ke ladang ternakan babi di Tanjung Sepat Jumaat lalu, yang turut disertai agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Beliau berkata sebanyak 118 premis ternakan babi beroperasi di Kuala Langat dan sebahagian kecil di Sepang setakat ini, dengan kesemuanya berlesen dan dijalankan atas tanah pertanian.

Dalam lawatannya, Loy Sian mendapati masalah pencemaran sumber air berlaku susulan kaedah penternakan dan kawalan pencemaran yang konvensional, bukan penternakan tertutup.

“Kumbahan najis ternakan hanya melalui pengumpulan di kolam takungan dalam premis ternakan yang seterusnya disalirkan ke perparitan luar dan akhirnya ke perairan pantai,” katanya.

Sementara itu, katanya, satu sesi dialog akan diadakan dalam masa terdekat bersama persatuan dan pengusaha ladang babi negeri ini bagi memperkemas pengurusan operasi ternakan.

“Matlamat utama adalah pengurusan tinja ternakan yang perlu dilaksanakan secara bersistematik dan tidak mencemarkan sumber air berhampiran,” kata Loy Sian.

Pada 15 September, kira-kira 7,000 penduduk Tanjung Sepat dilaporkan berdepan masalah pencemaran dipercayai akibat kumbahan ternakan babi di kawasan itu sejak 30 tahun lalu.

Selain gangguan bau busuk, penduduk mendakwa aliran air dalam parit dan anak sungai di sekitar kawasan berkenaan berwarna hitam pekat dan mengalir ke laut yang terletak kira-kira 30 meter.


Pengarang :