Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Klang pada 14 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Penuhi permintaan rakyat, jenis barangan jualan murah negeri ditambah

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Program Jelajah Ehsan Rakyat akan menambah beberapa produk baharu seperti gula dan roti selepas mendapat permintaan orang ramai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini perbincangan dengan pembekal sedang dilakukan dan pihaknya sentiasa berusaha memenuhi keperluan rakyat.

“Kita akan cuba tambah, insya-Allah kita akan tambah produk mengikut permintaan. Apabila dapat bekalan, kita akan tambah barangan seperti roti dan gula, bagaimanapun ia berdasarkan pemintaan dari rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan acara renang dan menyampaikan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) di Pusat Akuatik Negara Bukit Jalil di sini, semalam.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Inisiatif jualan murah itu dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri di seluruh 56 DUN mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini dengan peruntukan RM10 juta.

Enam jenis barangan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak dijual murah berbanding harga semasa pasaran.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :