Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama sebahagian pemenang sempena Majlis Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penulis perlu tampil berani, terbitkan lebih banyak karya satira

SHAH ALAM, 11 SEPT: Setiap pengkarya sastera perlu tampil berani menghasilkan karya berkualiti khususnya berkaitan satira, kata pemenang hadiah penghargaan kategori esei Hadiah Sastera Selangor 2021.

Ahmad Muziru Idham Adnan, 32, berkata Malaysia kekurangan pengkarya sastera satira yang sememangnya memerlukan keberanian dalam penghasilannya.

“Malaysia kekurangan karya satira kerana ia agak tinggi kerana bukan sahaja perlu berani tetapi untuk menulisnya memerlukan imaginasi yang kritis.

“Tidak ramai yang ingin menulis satira kerana barangkali ia melibatkan imaginasi atau kurang berani sebab sangat politikal dan perlu berfikiran kritis. Bagaimanapun, saya akan terus menghasilkan karya satira supaya ia tidak dilupakan,” katanya malam tadi.

Terdahulu beliau menerima penghargaan pada malam Hadiah Sastera Selangor 2021 di Hotel Saujana Kuala Lumpur, dekat sini yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, pemenang penghargaan kategori puisi Qurratul ‘Ain Abdul Rahim, 27, berkata beliau menghasilkan dua karya berjudul Dalam lelap binari dan Menikmati katarsis dengan menjadikan muzik sebagai sumber inspirasi.

“Ilham untuk menghasilkan sesebuah karya datang dengan sendiri. Namun, ketika menulis puisi ini saya banyak meneroka muzik tempatan dan luar.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka menang dan hadiah sastera ini amat bagus kerana menerima hasil karya negeri lain juga sekali gus dapat mengembangkan industri dengan lebih luas,” katanya.

Pemenang hadiah penghargaan kategori cerpen Azrin Fauzi,30, berkata penulisan cerpen amat menarik kerana ia pelbagai dan meluas jika digarap dengan baik.

“Bagaimanapun, untuk generasi sekarang amat kurang dalam penghasilan cerpen dan perlu diketengahkan lagi. Dengan adanya anugerah sastera dapat membantu dan menggalakkan pengkarya menulis cerpen dan merangsang penulis menghasilkan karya lebih baik,” katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga pemenang tersebut menerima dua hadiah penghargaan masing-masing berjumlah RM1,000 daripada Amirudin dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.


Pengarang :