Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Penunggang motosikal maut rempuh tapir lintas jalan

SEREMBAN, 30 SEPT: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor tapir yang secara tiba-tiba melintas jalan raya di KM17 Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata kejadian berlaku kira-kira 11.15 malam ketika lelaki berusia 33 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda RS150 seorang diri dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh tapir terbabit sebelum dia tercampak ke tepi jalan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Amran berkata tapir berkenaan turut mati di lokasi kejadian dan bangkainya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

Beliau berkata kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA


Pengarang :