Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat, kanan) mengiringi DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melawat kapal persiaran di terminal Pelabuhan Klang pada 5 September 2022. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pergiat kerjasama majukan terminal Pelabuhan Klang, lonjak pelancongan negeri

SHAH ALAM 6 SEPT: Selangor sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi memajukan kawasan terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) yang dibuka semula pascapandemik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasrat itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor supaya lokasi tersebut dipromosi untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Menjunjung kasih Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mencemar duli merasmikan PKCT.

“Pembukaan PKCT ini dijangka akan melonjakkan sektor pelancongan di Selangor dan memberi kesan positif kepada ekonomi setempat,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam, Sultan Selangor dalam titah Baginda meminta Kerajaan Negeri mempergiat promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa bagi memastikan Selangor mampu menarik minat pengunjung.

Beroperasi sejak 2015, PKCT menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan untuk kapal persiaran serta kapal armada tentera laut di kawasan seluas 69.8 ekar.

Terminal itu turut dilengkapi ruang berhawa dingin, jambatan penghubung untuk naik dan turun kapal selain laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan antara dermaga serta terminal.

Turut disediakan ialah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kaunter pertukaran wang asing, kedai serbaneka, kedai cenderamata dan hadiah serta kedai bebas cukai.

 


Pengarang :