Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli ditemu bual Media Selangor di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perluas waktu kerja anjal, dari rumah khusus staf miliki ibu bapa uzur

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sistem pekerjaan secara fleksibel dan kebenaran bertugas dari rumah wajar diperluas kepada anak muda serta kakitangan yang memiliki ibu bapa usia lanjut atau uzur.

Wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli pendekatan tersebut berupaya meningkatkan produktiviti pekerja seterusnya menjamin kebajikan orang tua masing-masing.

“Mungkin ada dalam kalangan pekerja di luar sana perlu menjaga dan menghantar ibu bapa sakit ke hospital. Jadi tawaran (waktu kerja fleksibel) wajar diperluaskan kepada mereka.

“Hal ini supaya mereka berasa tetap dihargai dan dapat terus bekerja dengan hati yang tenang. Pada masa sama kebajikan dijaga, jadi aspek ini tidak bertumpu kepada golongan wanita semata-mata,” katanya.

Bercakap dalam sebuah program bual bicara kelmarin, beliau berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menekankan sistem sokongan kepada wanita berkerjaya negeri ini melalui penubuhan pusat asuhan kanak-kanak di pejabat.

Jelas Juwairiya, Kerajaan Selangor menawarkan insentif terhadap mana-mana syarikat yang membuka pusat asuhan di pejabat bagi memudahkan pekerja wanita.

“Usaha sebegini dapat membantu wanita memandangkan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), pekerja sudah terbiasa dengan kaedah ‘bekerja dari rumah’.

“Saya berasakan waktu kerja fleksibel tidak semestinya seseorang pekerja itu perlu berada di pejabat kerana yang penting sasaran kerja kita tercapai,” katanya.

RS-1 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai lalu mencadangkan pemberian insentif kepada syarikat yang membuka pusat asuhan kanak-kanak di pejabat bagi memudahkan pekerja wanita.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan itu mendorong lebih ramai wanita kekal bekerja seterusnya menyumbang sasaran 75 peratus penyertaan golongan itu dalam pasaran kerja menjelang 2025.

Inisiatif itu dimulakan dengan agensi, anak syarikat Kerajaan Negeri selain mewajibkan penyediaan pusat asuhan kanak-kanak serta bilik khas untuk penyusuan bayi di semua premis pihak berkuasa tempatan.

 


Pengarang :