Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) giat membersihkan kawasan terjejas akibat banjir di sekitar kawasan Petaling Jaya. Foto Twitter KDEBWM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Persediaan banjir, MB seru penduduk lapor longkang tersumbat

SHAH ALAM, 27 SEPT: Penduduk negeri ini diseru melaporkan kejadian longkang tersumbat di kawasan masing-masing sebagai persediaan menghadapi banjir bulan depan.

Dato’ Menteri Besar berkata aduan boleh dibuat kepada KDEB Waste Management (KDEBWM) di talian WhatsApp 019-274 2824 bagi tujuan pembersihan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pengadu boleh menghantar rakaman video kurang daripada 10 saat bagi menunjukkan lokasi yang terlibat.

“Bagi Memastikan sistem saliran longkang yang baik dan persiapan menghadapi banjir pada November ini yang diramal Jabatan Meteorologi Malaysia, KDEBWM meminta bantuan orang ramai melaporkan keadaan longkang tersumbat di kawasan anda,” tulisnya di Facebook.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengambil langkah awal bagi mengelak kejadian tersebut dengan memastikan tiada longgokan sampah di dalam longkang selain ia mengalir dengan baik.

Antara lain, elakkan membuat penyambungan paip di dalam longkang dan tidak mengambil risiko meletakkan sampah pukal di tepi longkang terbuka.

Sebelum ini, KDEBWM mempelawa orang ramai menghantar aduan atau melaporkan keadaan longkang tersumbat di kawasan masing-masing menerusi aplikasi WhatsApp.

Agensi itu juga menyeru masyarakat mengambil langkah awal dengan membersihkan longkang di kawasan perumahan masing-masing agar pengalirannya lebih baik.


Pengarang :