Jusit Rantai (kiri, bertopi merah) bertugas menaikkan bendera Malaysia ketika pengisytiharan persekutuan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September 1963. Foto koleksi peribadi keluarga Jusit Rantai
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pertama kibar Jalur Gemilang di Sabah, Sarjan Jusit rela pertaruh nyawa

Nama mendiang Sarjan Jusit Rantai mungkin agak asing jika dibandingkan dua tokoh penentangan Inggeris di Sabah iaitu Datu Paduka Mat Salleh dan Ontoros Antanom.

Namun kesanggupan menggadaikan nyawa demi menaikkan bendera pada pengisytiharan persekutuan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September 1963, sekali gus menjadi anak Sabah pertama mengibarkan Jalur Gemilang, wajar diingati.

Cucu kepada Jusit yang juga wartawan Amin Ridzuan Ishak menceritakan kembali debaran datuknya itu ketika menaikkan bendera Malaysia saat negara berhadapan konfrontasi negara jiran.

Setiap kali tiba tarikh 16 September, padang Kampung Susulat yang terletak di Sook, Keningau menjadi lokasi tumpuan keluarga penulis.

Hampir keseluruhan anggota keluarga akan pulang ke kampung di pedalaman Sabah itu yang terletak 144 kilometer dari Kota Kinabalu.

Pada sekitar 1990-an, perjalanannya mengambil masa hampir empat jam melalui jajaran Banjaran Crocker dari Kota Kinabalu, Tambunan dan Keningau.

Tambah mencabar, kami perlu melalui jalan tidak berturap yang digunakan lori balak dari Keningau ke Sook sejauh 40km, ia bukan satu pengalaman ‘istimewa’.

Laluan itu mula diturap sekitar 2000 dan beberapa laluan baharu diperkenal. Antaranya dari Kota Kinabalu ke Kimanis sebelum sampai ke Keningau, sekali gus memendekkan tempoh perjalanan.

Meski perjalanan agak mencabar, ia bukan alasan untuk tidak pulang ke kampung untuk meraikan 16 September. Tarikh itu cukup istimewa terutama buat datuk penulis Jusit Rantai.

Jusit, bekas anggota berpangkat Sarjan adalah individu pertama di Sabah menaikkan bendera Malaysia ketika pengisytiharan persekutuan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September 1963.

Sambil menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, kami akan menaikkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Rai Hari Malaysia

Usai majlis itu, kami akan berkumpul sambil makan. Datuk kami turut menjalankan rutin menyembelih ayam, simbolik kepada rasa syukur penubuhan Malaysia.

Selepas datuk meninggal dunia pada 2010, upacara itu diteruskan sehingga kini. Meski penulis tidak lagi mengikutinya seperti sebelum ini, namun tetap gembira melihat generasi baharu bersemangat meneruskannya.

Bapa saudara George Laim Jusit pernah menceritakan bagaimana datuk yang biasanya tenang kelihatan gelisah, sehari sebelum peristiwa bersejarah itu.

Namun George Laim, ketika itu berusia 11 tahun, takut bertanya perubahan sikap datuk. Hanya pada makan malam, barulah Jusit membuka mulut.

“Bapa pesan jaga diri dan ikut cakap ibu (Norah Siambing) sekiranya sesuatu berlaku kepada dirinya ketika menaikkan bendera Malaysia.

“Katanya mungkin ada kekacauan dirancang kumpulan kurang senang dengan pembentukan Malaysia, Cawangan Khas polis dapat maklumat sesiapa yang menaikkan bendera Malaysia akan ditembak,” kata George Laim yang kini berusia 70 tahun.

 Bertugas sebagai pegawai komandan Balai Polis Pensiangan pada 1968, lapan tahun sebelum beliau bersara. Foto koleksi peribadi keluarga Jusit Rantai

Rahsia datuk

Itu kali pertama George Laim dan adik-beradiknya mendengar ‘rahsia’ pemilihan datuk sebagai petugas menaikkan bendera Malaysia. Nenek mengetahuinya kerana beliau bertanggungjawab menyediakan pakaian seragam Jusit pada upacara itu.

Cubaan membuat kekacauan disebut Jusit itu merujuk kepada rasa tidak senang Indonesia dan Filipina terhadap pembentukan persekutuan menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (Singapura keluar Malaysia pada 1965).

Konfrontasi bermula 1963 itu membabitkan penyusupan senjata, serangan dan tindakan subversif lain untuk menggugat kestabilan di Malaysia. Ancaman itu hanya tamat pada Ogos 1966 susulan kejatuhan pelopor kempen ‘Ganyang Malaysia’ iaitu Presiden Indonesia Sukarno.

Selepas makan malam, Jusit yang ketika itu berusia 33 tahun meluangkan masa dengan anak-anaknya. Beliau cuba menenangkan mereka yang ketika itu bercampur baur perasaannya. Pertama bangga melihat ‘wira’ mereka diberi tanggungjawab sebesar itu namun pada masa sama bimbang dengan keselamatannya.

Di sebalik ancaman itu, ia tidak mematahkan semangat Jusit yang berbangsa Murut untuk menunaikan amanah besar. George Laim dan adik-beradiknya hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk menimpa datuk.

Pada hari ditunggu-tunggu, Jusit, Norah, George Laim dan dua adiknya, Jane serta Juliana ke Padang Merdeka. Sebelum berpisah, Jusit sekali lagi berpesan supaya mereka menjaga diri dan jangan memberitahu sesiapa mengenai peranannya pada hari berkenaan.

Jusit bimbang ada pihak cuba mensabotaj upacara itu dan menjadikan keluarganya sebagai mangsa.

Berjaya kibar bendera

Kata George Laim kepada penulis, semasa itu dia yang menyertai perbarisan kumpulan Sekolah Rendah Stella Maris berdebar melihat kelibat datuk di sebalik tiang bendera.

Di hadapannya, ada pentas kecil menempatkan timbalan perdana menteri ketika itu Tun Abdul Razak Hussein; Ketua Menteri Sabah Datuk Donald Stephen dan Yang di-Pertua Negeri Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Hatinya lega sebaik sahaja melihat Jalur Gemilang berkibar megah.

“Kami semua berpelukan selepas upacara itu, gembira kerana bapa berjaya dan lahirlah Malaysia,” ujarnya yang kini mengusahakan kebun sawit di kampung halamannya di Kampung Susulat.

Mengikut cerita kepada penulis, Jusit yang menyertai perkhidmatan polis di bawah pemerintahan British di Jesselton (kini dikenali Kota Kinabalu) pada 1948 antara 100 anggota pasukan keselamatan itu yang disenarai pendek untuk melakukan tugas berkenaan.

Difahamkan, pemilihannya dibuat kerana keberaniannya menyuarakan isi hati mahu British menyerahkan pemerintahan Borneo Utara (Sabah) kepada penduduk tempatan. Ketika itu, beliau menjadi ketua unit yang menjaga peralatan termasuk senjata di Ibu Pejabat Polis Sabah di Kepayan.

Peranan Jusit dalam pembentukan Malaysia bukan hanya ketika upacara itu. Lahir pada 2 Februari 1930 di Kampung Pamunterian, Keningau, beliau berperanan menerangkan dan mendapat maklum balas daripada penduduk yang tidak mahir berbahasa Inggeris.

Bertemu pemimpin Murut

Tinjauan dilakukan Suruhanjaya Cobbold untuk mendapatkan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak mengenai gagasan penubuhan Malaysia.

Dalam proses itu, beliau bertemu pemimpin Murut di Keningau dan menjelaskan penubuhan Malaysia dalam bahasa ibunda kaum itu dan cuba mendapat persetujuan mereka. Ketika itu, ada tentangan mengenai rancangan Malaysia antaranya oleh Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu.

Menurut ibu penulis, Juliana, datuk mahir berbahasa Inggeris kerana pernah bersekolah dalam aliran itu di Sekolah St Mary di Sandakan pada sekitar 1940-an, sebelum pendudukan Jepun.

Datuk dihantar ke sekolah itu selepas menjadi anak angkat kepada Agnes Newton Keith, penulis dari Amerika Syarikat. Beliau terkenal dengan biografi Land Below The Wind yang mengisahkan kehidupan di Sabah sebelum, semasa dan selepas Perang Dunia Kedua.

Kisah Jusit yang disebut Usit diceritakan Keith dalam bab bertajuk Small Boy (budak lelaki) buku itu.

Menurut Juliana, moyang iaitu bapa kepada Jusit, Rantai Ensing meminta kebenaran keluarga Keith untuk menumpangkan anaknya yang berusia sembilan tahun itu di rumah mereka. Ini kerana Rantai perlu mengikuti penerbit filem dari Amerika Syarikat Martin Johnson membuat rakaman di hutan.

“Di situ bapa belajar bahasa Inggeris, beliau sering mengikuti Agnes ke mana-mana sahaja.

“Bapa turut dijemput Muzium Sabah bagi mengenal pasti rumah Agnes untuk dibaik pulih pada 2006, rumah itu kini menjadi destinasi pelancongan di Sandakan,” katanya kepada penulis.

Teruskan tradisi

Pada 1976, Jusit bersara daripada perkhidmatan polis. Selepas bertugas di Kota Kinabalu, beliau ditempatkan di balai polis Pensiangan dan Beluran.

Beliau membuka tanah di Kampung Susulat. Jusit mengusahakan tanaman seperti getah, sayur dan buah-buahan.

Walau bersara, Jusit tetap meneruskan tradisi menaikkan bendera Malaysia dan Sabah setiap kali 16 September.

Walau dibuat kecil-kecilan namun semangatnya sama seperti ketika beliau melakukannya pada kali pertama. Meski kecil di mata orang lain, namun kesannya besar.

Berkibarnya bendera Malaysia dinaikkan Jusit 59 tahun lalu, menandakan bermulanya era pembangunan negara di bawah payung persekutuan.


Pengarang :