Aksi pemain skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan ketika menentang Mongolia dalam perlawanan Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada 14 September 2022. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Piala Asia B-20: Harimau Muda seri 1-1 dengan Mongolia

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan terikat 1-1 dengan tuan rumah Mongolia dalam perlawanan Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar hari ini.

Pertarungan kedua-dua pasukan agak sengit apabila masing-masing melakukan serangan bagi memburu jaringan awal.

Namun, kesilapan pemain pertahanan negara menjatuhkan Buyannemekh Ganbat menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah yang disempurnakan oleh Ganbat pada minit ke-24.

Skuad Harimau Muda bimbingan Hassan Sazali Waras bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan sembilan minit selepas perlawanan bermula menerusi jaringan Aliff Izwan Yuslan yang menyempurnakan hantaran lintang Najmudin Akmal.

Malaysia akan berdepan Sri Lanka pada Jumaat ini, diikuti cabaran getir menentang Korea Selatan pada Ahad.

Hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik berpeluang mara ke pusingan akhir di Uzbekistan pada Mac tahun depan.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan E, Korea Selatan berpesta gol selepas membelasah Sri Lanka 6-0.

– BERNAMA


Pengarang :