Anggota pasukan khas membantu melancarkan jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
SELANGOR

PKM DUN Sungai Tua tubuh pasukan khas bantu kelancaran jualan murah

GOMBAK, 30 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menubuhkan pasukan khas untuk membantu program jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di kawasan tersebut.

Pengurusnya Maimon Misman berkata seramai 10 anggota terlibat dalam pasukan khas berkenaan bagi membantu melancarkan jualan dikendali Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kita ada satu pasukan khas dibentuk untuk jualan murah ini dan tujuannya bagi kelancaran program. Kita pilih pasukan yang sama kerana ia memudahkan tugasan dan penting komitmen diberikan mereka kerana jualan berlangsung sehingga Disember.

“Setelah mendapat jadual lokasi jualan, saya terus kongsikan di WhatsAap dan semua bekerjasama dengan bantu sepanjang program berlangsung,”katanya ditemui pada program tersebut di Flat Laksamana di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau menguar-uarkan setiap lokasi jualan murah di DUN Sungai Tua bagi memudahkan penduduk sekaligus lebih ramai dapat manfaat.

“Selain membuat kain rentang dan mengedarkan risalah, kita juga bekerjasama dengan ketua-ketua kampung untuk hantar mesej di Whatsapp,”katanya.

Program JER bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Menerusi jualan murah ini, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg(RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :