AGENDAJENAYAH

Polis, isteri didakwa eksploitasi amah hingga cedera parah

KLANG, 8 SEPT: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sehingga menyebabkan kecederaan parah antara Mac dan Ogos tahun ini.

S Vijiyan Rao, 38, yang merupakan seorang pegawai polis dan isteri K Rineshini Naidu, 35, seorang peniaga, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozianayati Ahmad.

Mereka didakwa dengan niat bersama melakukan perbuatan itu terhadap Zailis, 46, di sebuah rumah di Taman Industri Bolton, Gombak antara Mac dan 30 Ogos lepas.

Suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 13 (a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang dari lima tahun, dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurul’ Ain Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 dan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dengan syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun pasangan itu yang diwakili peguam A Narainasami memohon jaminan yang rendah dengan alasan mereka menanggung dua anak yang masih kecil.

Rozianayati kemudian membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 5 Okt ini untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA


Pengarang :