AGENDAJENAYAH

Polis serbu pusat hiburan tanpa lesen, tahan 16 wanita warga asing

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Polis menyerbu sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan Kepong dekat sini semalam dan menahan 16 warga asing dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata serbuan pada 10.50 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

“Pusat hiburan berkenaan didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen dan pasukan kita telah menahan 16 wanita warga asing itu serta seorang lelaki berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata turut diperiksa 50 pelanggan berusia di 23 hingga 57 tahun yang berada di pusat berkenaan dan mereka telah dibebaskan tanpa syarat manakala peralatan audio yang digunakan untuk tujuan hiburan antara yang dirampas.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana menjalankan aktivi pusat hiburan tanpa lesen perniagaan yang sah, Seksyen 55B Akta Imigresen kerana mengajikan warga asing tanpa permit yang sah, Seksyen 6(1) (c) AKta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen kerana kesalahan menyalahgunakan pas lawatan.

– BERNAMA


Pengarang :