Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing R Rajiv ketika melancarkan program bungkus di kawasan Gerai Makan Seksyen 8, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Program bungkus galak penduduk Bukit Gasing guna cawan bebas plastik

PETALING JAYA, 20 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing melancarkan program bungkus iaitu kempen katakan tidak kepada plastik bungkusan air.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata inisiatif itu adalah usaha menggalakkan masyarakat untuk tidak menggunakan plastik bungkusan air dan beralih kepada cawan atau bekas minuman guna pakai.

“Penggunaan plastik bungkusan minuman pakai buang mencemarkan alam sekitar dan mengalami tabiat buang sampah merata-rata. Untuk elakkan perkara ini, kita jual bekas air guna pakai atau tumbler pada harga RM10 sahaja.

“Dua jenis bekas berkaitan iaitu 600 mililiter (ml) dan 450ml yang mana setiap satu memperuntuk sebanyak 1,000 bekas. Mereka juga diberikan diskaun RM1 untuk setiap pembelian air menggunakan bahan ini,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media mengenai program tersebut di Gerai Makan Seksyen 8 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rajiv memaklumkan sebanyak lapan kedai di sekitar DUN Bukit Gasing terlibat menjayakan program berkenaan.

“Kedai-kedai ini bertindak sebagai rakan supaya memudahkan masyarakat membeli bekas air dan tidak lagi menggunakan plastik bungkusan.

“Kita mengalu-alukan mana-mana restoran yang ingin bekerjasama untuk turut serta dalam kempen ini. Mereka boleh menghubungi talian 03-29359745,” katanya.


Pengarang :